To all my ladies :D

CINTA DALAM DIAM

Tatkala jatuh cinta pada seseorang, ikatlah hatimu dengan seerat-eratnya. Simpulkanlah ia dengan simpulan mati yang hanya dapat dibuka saat waktunya tiba.

Sebelum mengorak langkah lebih jauh dengannya, cukuplah cintai ia dalam diam.

Kerana diammu adalah bukti cintamu padanya. Kamu ingin memuliakannya, dengan tidak mengajaknya menjalin hubungan terlarang. Kamu enggan mengaibkannya, dengan tidak mengajaknya berdua-duaan. [1]

Kerana diammu meletakkan sifat malunya di tempat yang sebetulnya, kerana malu itu penanda aras keimanan di hatinya.

Kerana diammu menjaga kesucian dan ketenangan hatinya, menghindar dirinya daripada perkara-perkara yang merosakkan izzah dan iffahnya.

Sebelum memulakan sesuatu yang terlarang, cukuplah sekadar mencintai ia dalam diam.

Kerana diammu adalah petanda keikhlasanmu kepadanya. Kamu tidak ingin ia memilihmu lewat rupa parasmu atau manis ayatmu, sebaliknya kerana tulus hatimu.

Kerana diammu adalah keadilanmu. Kamu mana mungkin melanggar hak-hak walinya yang terlebih dahulu mencintai ia tanpa balasan dan alasan.

Kerana diammu adalah kekuatanmu yang menguatkan dia. Kamu tidak akan sekali-kali mencari dan menggali titik-titik kelemahan yang ada di hatinya sehingga ia tersungkur dicedera rindu.

Kerana diammu adalah……. Kekuatannya! [2]

Masih ingatkah kamu akan kisah cinta Fatimah dan Ali? Kedua-dua mereka saling memendam perasaan yang mereka rasakan antara satu sama lain, dan akhirnya, mereka dipertemukan dalam syurga cinta dunia nan suci dan indah.

Boleh jadi orang yang kamu cintai itu juga adalah orang yang telah ditentukan oleh Allah SWT untukmu. Kerana dalam diammu, tersimpannya kekuatan harapan, yang menyalakan keinginanmu, dan memungkinkan Allah SWT memenuhi harapanmu sehingga ianya dapat berbicara di dunia nyata.

Bukankah Allah SWT itu Maha Hidup lagi Maha Mendengar? Sesungguhnya Allah SWT itu malu. Dia malu apabila seseorang hambaNya mengharap kepadaNya, lalu Dia menghampakannya dan meninggalkannya dalam kerugian. [3]

Tapi kiranya kamu telah berusaha berharap sepenuh hati, namun jika dia memang bukan milikmu, moga Allah SWT, merentasi batas-batas waktu, menghilangkan ‘cinta dalam diammu’ itu dan menggantikannya dengan rasa yang lebih indah, pada orang yang tepat.

Biarkan cinta dalam diammu itu menjadi memori tersendiri di sudut hatimu yang menjadi rahsia antara dirimu dengan Sang Kekasih Agung! [4]

Kerana diammu tanda tunduknya hatimu pada Sang Kekasih Agung. Sedangkan ikatan rumah tangga yang dimulai tanpa rasa tunduk dan patuh pada syariatNya tidak mungkin diredhaiNya. Dan tidak mungkin akan melahirkan generasi umat yang tunduk patuh padaNya.

Kerana diammu adalah bukti cintamu yang agung!

“Wahai Allah, jadikanlah kami orang yang tunduk patuh kepada Engkau dan jadikanlah di antara anak-anak cucu kami umat yang tunduk patuh kepada Engkau. Sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya kepadaMu sahaja kami meminta dan bergantung harap. Perkenankanlah harapan kami Ya Allah.”

NOTA SISIPAN

1. Firman Allah SWT: “Barangkali kamu membenci membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan barangkali kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu. Allah Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” – Al-Qur’anul Karim; Surah Al-Baqarah (2) ayat 216.

2. Ianya boleh dianalogikan seperti antibiotik dan tubuh badan manusia. Seseorang yang sering diberikan antibiotik untuk melawan jangkitan akan menyebabkan sistem imunnya lemah dan perlu sentiasa bergantung kepada ubat-ubatan. Akan tetapi seseorang yang dibiarkan melawan jangkitan dengan sendiri tanpa antibiotik, badannya akan secara automatik menghasilkan antibodi yang kuat bagi melawan penyakit. Justeru,sistem imunnya menjadi mantap secara semulajadi dan mengelakkan kebergantungan kepada ubat-ubatan.

Seperti hal ini, apabila kamu mendapati seseorang mulai jatuh hati padamu, jika kamu melayani perasaannya, maka ia akan sentiasa bergantung kepadamu dan hatinya menjadi lemah. Tetapi jika kamu membiarkannya melawan perasaannya sendiri, maka ia akan membentuk satu kekuatan dalam hatinya.

3. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Tuhanmu Maha Hidup lagi Maha Mulia. Dia malu melihat hambaNya mengangkat tangan berdoa kepadanya, lalu dia tidak memperkenankan apa-apa kepada hambaNya itu.” – Hadis riwayat Imam Ahmad, Abu Dawud, At-Tirmizi dan Ibnu Majah.

4. Al-Imam Tahtawi r.a. di dalam hasyiyah Muraqi Al-Falah (kitab fiqh Mazhab Abu Hanifah), menukilkan perkataan daripada Al-Imam Suyuti r.a.: “Orang yang menyembunyikan perasaan rindu sebegini kepada seseorang yang dirinduinya, maka jika dia mati dalam keadaan tersebut akan mendapat ganjaran seumpama golongan syahid di akhirat.”

Wallahua’lam.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment

Followers